Rumah Kongsi 120 Pintu Musnah Dalam Kebakaran Di Kalabakan

Kebakaran melibatkan enam blok rumah kongsi 120 pintu, di Kampung Bertitian Poris, dekat sini petang semalam.

TAWAU: Enam blok rumah pekerja ladang yang mempunyai 120 pintu, musnah dalam kebakaran di Kampung Bertitian Poris, Brantian, jalan Kalabakan di sini, semalam.

Ketua Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zulbada Alior, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.54 petang.

Menurutnya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian

“Sebaik tiba, didapati kebakaran sedang berlaku membabitkan enam blok rumah pekerja dengan setiap satu blok 20 pintu yang terbakar sepenuhnya.

“Lima blok struktur papan terbabit dihuni pekerja ladang di situ manaka sebuah lagi adalah blok yang baharu dibina turut musnah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi memadam kebakaran turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Umas dan PBS Kalabakan.

“Api berjaya dikawal pada jam 6.39 petang, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 8.10 malam dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.

“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

SumbeR: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *