KOTA KINABALU: Hukuman penjara selama beberapa tahun nampaknya gagal menginsafkan, sebaliknya tempoh tersebut digunakan oleh dua lelaki untuk berkenalan dan melakukan aktiviti pecah rumah serta curi kenderaan selepas dibebaskan.
Aktiviti jenayah dua lelaki itu bagaimanapun terbongkar selepas kedua-duanya ditahan pada 17 April lalu di Menggatal oleh sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang bekerjasama dengan JSJ IPD Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, dua lelaki berusia 27 dan 37 tahun itu merupakan ahli ‘Geng Lastik’ bersama seorang lagi rakan jenayah mereka yang masih bebas dikenali sebagai Eddy Christopher Jinni, berasal dari Penampang.
“Selepas melakukan risikan selama tiga minggu, sepasukan polis telah melakukan serbuan di sebuah rumah dan berjaya menahan kedua-dua suspek, hasil soal siasat berjaya membawa kepada penemuan pelbagai barangan yang dicuri.
“Kedua-dua suspek merupakan dua lelaki tempatan berasal dari Penampang dan Kota Kinabalu, manakala seorang lagi rakan jenayah mereka yang merupakan orang Penampang masih bebas dan sedang diburu,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Penampang hari ini.
Menurut beliau, semua suspek dikenali sebagai Geng Lastik kerana modus operandi mereka yang melastik batu ke tingkap sesebuah rumah terlebih dahulu sebelum memecah masuk.
Katanya, jika tiada respon daripada penghuni, suspek mengetahui rumah berkenaan kosong sebelum memecah masuk untuk mencuri pebagai jenis barang serta melarikan kenderaan mangsa.
“Dengan penahanan suspek, polis berjaya menyelesaikan 14 kes pecah rumah yang berlaku di Penampang, Kota Kinabalu, Papar dan Tuaran.
“Pelbagai jenis barang curi dirampas termasuk empat buah kenderaan iaitu Honda Jazz, Honda CRV, Toyota Vios dan Isuzu D-Max serta pelbagai peralatan untuk menjalankan aktiviti pecah rumah,” katanya.
Jelasnya, kerugian yang dialami mangsa untuk semua kes berkenaan mencecah nilai RM800,000.
Tambah beliau, kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula 19 April lalu dan siasatan dibuat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A kanun yang sama.
SumbeR: BorneoToday