108 Individu Tiba Di Tawau Dari Nunukan, Indonesia Dikuarantin

TAWAU: Seramai 108 warga tempatan dan pemegang pas lawatan sosial jangka panjang yang dibawa masuk dari Nunukan, Indonesia ke Tawau, hari ini telah dihantar ke pusat kuarantin.

Jumlah itu terdiri daripada 46 lelaki dan 62 perempuan termasuk 18 kanak-kanak membabitkan 86 warga tempatan dan 22 warga Indonesia.

Mereka dibawa menaiki feri KM Francis Express yang dikemudi tujuh anak kapal warga Indonesia, selamat tiba di Terminal Feri Tawau, pukul 11.11 pagi tadi.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

“Kumpulan ini sepatutnya dibawa masuk ke Tawau pada fasa ketiga proses membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Indonesia selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu.

“Bagaimanapun, mereka tidak sempat menaiki feri tersebut menyebabkan satu lagi usaha membawa pulang kumpulan berkenaan, hari ini,” katanya.

Tambah Sharifah, semua individu yang ingin pulan ke Sabah perlu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum dibenarkan pulang.

“Seperti sebelumnya, operasi hari ini membabitkan semua agensi petugas barisan hadapan termasuk polis, Jabatan Imigresen Malaysia, pasukan perubatan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, RELA dan banyak lagi.

“Ia bagi memastikan operasi membawa pulang kumpulan berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, semua kumpulan individu tersebut dihantar ke pusat kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau untuk menjalani proses kuarantin wajib selama 14 hari.

“Saya melihat usaha ini menunjukkan keprihatinan kerajaan kegeri terhadap rakyatnya yang berada di luar negara sekali gus dapat mengekang dan mengawal penularan wabak Covid-19 di sini,” katanya.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *