Seorang lelaki di Ukraine bukan sahaja tergamak membunuh teman wanitanya, tetapi sanggup makan kaki mangsa.
Mirror UK melaporkan, suspek yang hanya dikenali dengan nama Oleksandr, 41, dikatakan berbuat demikian kerana lapar ketika kedua-duanya berparti.
Ketika ditahan, lelaki terbabit dipercayai menggoreng dan memakan kaki teman wanitanya yang berusia 50 tahun.
Menurut polis, ketika kejadian pada 13 April lalu, Oleksandr dan teman wanitanya berparti di rumah di bandar Kryvyi Rih.
Suspek dilaporkan mengambil pisau di dapur sebelum menikam leher teman wanitanya.
Selepas memastikan kekasihnya itu tidak bernyawa, Oleksandr memotong kaki mangsa dan memasukkan bahagian badan lain wanita itu ke dalam guni.
Oleksandr mengheret guni itu sejauh 500 meter dan menyembunyikannya di dalam semak berhampiran sungai.
Bagaimanapun, pada keesokan hari, guni itu ditemui seorang lelaki bernama Mykola yang datang untuk memancing bersama anaknya.
“Saya dan anak mencari tempat memancing sebelum kaki tersadung pada guni itu. Saya kemudian mendapati ada punggung manusia terkeluar darinya,” katanya.
Susulan laporan polis dibuat Mykola, polis menahan Oleksandr di rumahnya.- Agensi