737,797 Rakyat Sabah Lulus Bantuan BPN

KOTA KINABALU: Seramai 737,797 orang rakyat di Sabah telah mendapat kelulusan Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Jumlah itu adalah daripada 6.5 juta penerima layak di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, berkata jumlah terbabit tidak termasuk individu yang baru mendaftar.

“Pendaftar baharu akan ditapis kelayakan mereka dan ditentukan selepas tempoh pendaftaran berakhir pada 30 April ini,” katanya.

Rahim Bakri

Beliau mengeluarkan kenyataan terbabit selepas mendapat taklimat ringkas dari Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah, Datuk Hajam Lajah Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembayaran BPN untuk rakyat Sabah membabitkan golongan yang disasarkan.

“Setakat ini pembayaran BPN di Sabah dijangka akan membabitkan seramai 341,229 orang ketua isi rumah B40 ( pendapatan RM4000 ke bawah ) dengan bayaran RM1600 setahun dan anggaran jumlah sebanyak RM545,966,400.

“Bagi individu bujang B40 (pendapatan RM2000 ke bawah) pula adalah seramai 314,451 orang yang akan menerima RM800 seorang setahun berjumlah sebanyak RM251,560,800.

“Sementara itu, ketua isi rumah M40 (pendapatan RM4001 sehingga RM8000) dengan bayaran RM1000 setahun adalah berjumlah 51,026 orang dengan peruntukan sebanyak RM51,026,000

“Individu bujang M40 (pendapatan RM2,001 sehingga RM4,000) jumlah yang telah diluluskan ialah 31,091 dengan jumlah bayaran RM500 dengan jumlah peruntukan RM15,545, 500,” katanya.

Abdul Rahim turut memberitahu, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan dana sebanyak RM864,098,700 juta BPN bagi sejumlah 737,797 orang yang layak di Sabah.

“Bantuan ini adalah tanda keprihatinan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada rakyat Malaysia termasuk Sabah yang terjejas oleh PKP, ” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *