Nasib Rakyat Dibela Sepanjang PKP

Datuk Christina Liew

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew menyokong penuh usaha kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang komited untuk membantu rakyat yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu menjelaskan, komitmen kerajaan negeri dapat dilihat menerusi beberapa langkah yang diambil untuk membantu mengurangkan beban yang dihadapi rakyat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Beliau (Shafie) turut mengumumkan 15 langkah di bawah Pakej Bantuan COVID-19 Sabah yang berjumlah RM670 juta untuk memberi bantuan kepada petugas barisan hadapan, rakyat khususnya kumpulan yang memerlukan dan industri yang kritikal di Sabah.

“Daripada jumlah itu, RM50 juta diperuntukkan untuk membiayai semua perbelanjaan untuk situasi kecemasan akibat COVID-19,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini.

Beliau turut menekankan kerajaan negeri berusaha gigih bagi memastikan doktor, jururawat, kakitangan kesihatan dan barisan hadapan lain seperti polis, tentera, pegawai imigresen, serta anggota Rela dilengkapi dengan topeng muka, pembersih tangan dan alat perlindungan peribadi (PPE) dalam menjalankan tugas.

Menurutnya, wakil rakyat turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan makanan kepada ribuan penduduk di kawasan masing-masing.

“Usaha ini dilaksanakan di bawah peruntukan RM10 juta Pakej Bantuan termasuk sumbangan makanan bagi mereka yang bekerja di barisan hadapan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga memberikan bantuan kepada malim gunung dan pihak yang berkaitan agar tidak ketinggalan untuk menerima bantuan dari kerajaan negeri.

SumbeR: Utusan Borneo

2621