Jangkitan Penularan COVID-19 Di Hospital Likas Bukan Faktor Dalaman – KP

PUTRAJAYA, 17 April: Siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati jangkitan COVID-19 di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, Sabah, melibatkan 14 petugas barisan hadapan, mungkin berpunca daripada majlis perkahwinan di Perak. 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster itu berpunca daripada jangkitan komuniti yang kemudian merebak di dalam hospital itu. 

“Kes pertama dilaporkan pada 27 Mac 2020 dan siasatan mendapati punca jangkitan mungkin berasal daripada komuniti iaitu majlis perkahwinan di Ipoh (Perak) dan kemudian salah seorang mereka balik dan menjangkiti rakan. 

“Dalam siasatan, punca jangkitan bukan di wad tetapi di ruang yang sempit seperti di pantri. Ramai pekerja (jururawat dan doktor) berkumpul dan ada kesan jangkitan di sana,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM telah mengambil tindakan pengesanan kes dan mengasingkan mereka yang ada kontak rapat dengan 14 kes positif itu. 

Dilaporkan hari ini, Jabatan Kesihatan Sabah telah mengenal pasti dua kluster jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugasnya di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas serta Hospital Keningau di kawasan pedalaman.

Mengenai kluster kilang di Pasir Gudang, Johor Bahru, Dr Noor Hisham berkata jangkitan itu bukan dalam kilang tetapi di luar. 

“Kes-kes influenza-like illness (ILI) dan pernafasan akut teruk (SARI) di komuniti ada 114. Jadi ada salah satu kemungkinan jangkitan itu di luar dan di bawa masuk ke kilang itu,” katanya. 

Dr Noor Hisham menjelaskan 10 kes jangkitan yang dilaporkan di kilang Pasir Gudang melibatkan jangkitan komuniti yang seterusnya merebak dalam kalangan pekerja kilang. 

Mengenai perkembangan individu yang pulang dari luar negara sejak 3 April lepas, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 10 kes positif COVID-19 direkodkan dalam kalangan mereka. 

Beliau berkata kira-kira 15,000 individu telah ditempatkan di 112 pusat kuarantin merangkumi hotel and institut latihan selepas pulang dari luar negara.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *