62 Penduduk Terjejas Banjir Di Nabawan

Keadaan banjir kilat di Kampung Salung, Nabawan.

NABAWAN: Banjir kilat yang melanda Kampung Salung, Nabawan, awal pagi kelmarin menyebabkan 62 penduduk terjejas.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, beberapa kenderaan milik penduduk kampung turut ditenggelami air susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Pegawai Daerah Nabawan Virus Malitam berkata, lapan rumah yang terjejas namun tiada pemindahan dilakukan.

Keadaan banjir kilat di Kampung Salung, Nabawan.

Menurutnya, pihaknya sedang mengusahakan bantuan kebajikan kepada semua mangsa yang terbabit.

“Pejabat Daerah bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu penduduk yang terjejas.

“Selain itu, pejabat daerah juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah Nabawan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk sebarang tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Virus berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan cuaca di kampung berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Tiada pemindahan dilakukan namun kita sudah mengenal pasti pusat pemindahan di Gereja SIB, Kampung Sabuluh yang mempunyai kapasiti 40 orang sekiranya diperlukan.

“APM juga sudah memberi nasihat supaya penduduk naik ke tempat lebih tinggi sekiranya hujan berterusan,” katanya.

Keadaan banjir kilat di Kampung Salung, Nabawan.
Keadaan banjir kilat di Kampung Salung, Nabawan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *