PKP: Lori Bawa Bantuan Keperluan Asas Terbalik Di Keningau

Keadaan lori dinaiki anggota RELA terbalik di Kampung Bariawa, Keningau.

KENINGAU: Lapan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) cedera selepas lori dinaiki yang membawa bantuan makanan terbabas lalu terbalik di Kampung Bariawa di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, semua anggota RELA yang cedera di kepala, mulut dan kaki itu menerima rawatan di Hospital Keningau.

Pengarah RELA Sabah, Mohd Pauzi Jhumat, berkata, lori berkenaan membawa muatan bungkusan berisi makanan keperluan asas untuk diagih kepada penduduk di sekitar Keningau hingga Sook yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Anggota bomba memberi rawatan awal kepada anggota RELA yang cedera.

Katanya, empat lori RELA bertolak dari Pusat Pengumpulan Makanan di bangunan MUIS, Kota Kinabalu, kira-kira jam 1 tengah hari.

“Anggota RELA membantu membawa bekalan makanan disediakan Jabatan Kebajikan untuk diagihkan kepada penduduk setempat.

“Apabila tiba di lokasi kejadian menaiki bukit, sebuah lori di hadapan dipercayai gagal dikawal lalu terbabas dan terbalik.

“Lapan anggota RELA yang menaiki lori berkenaan cedera dan dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua anggota RELA terbabit dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan dan pulang ke Kota Kinabalu.

Lori yang turut membawa barang keperluan asas terbalik, lapan anggota RELA cedera.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, seramai 1,250 anggota RELA seluruh Sabah sedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di lapangan bagi melakukan operasi sekatan jalan raya, rondaan dan di pusat kuarantin.

“Daripada jumlah itu, seramai 991 anggota RELA sudah digerakkan bagi membantu PDRM dan ATM di lapangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Mudi Pengiran, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan jam 4.26 petang, sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan sembilan anggota dikerah ke lokasi kejadian.

Lori yang turut membawa barang keperluan asas terbalik, lapan anggota RELA cedera.

“Sebaik tiba, anggota bomba memberi rawatan awal kepada semua mangsa. Operasi tamat jam 6.44 petang,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *