142 Positif Covid-19, 108 Discaj Hari Ini

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR: Dua kematian berkaitan jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 5 petang, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini sebanyak 45 kes.

Mengenai bilangan kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, sebanyak 142 dilaporkan hari ini, mencatatkan 2,908 kes keseluruhan dalam negara.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 102 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk 66 menggunakan bantuan alat pernafasan.

“Hari ini, bilangan pesakit yang discaj tertinggi iaitu 108 orang.

“Ini menjadikan 645 pesakit atau 22.2 peratus telah sembuh dan discaj hospital setakat jam 12 tengah hari, hari ini,” katanya.

Berikut laporan terperinci kematian akibat Covid-19 dalam negara hari ini;

1) Kes kematian ke-44 (kes ke-193)

• Wanita warga Malaysia berusia 80 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

2) Kes kematian ke-45 (kes ke-1053)

• Lelaki warga Malaysia berusia 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

• Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (kes ke-486).

SumbeR: KKM, Harian Metro

989