Lebih 40 Ekor Kuda Disahkan Mati Selepas Virus Kuda Afrika Ditemui Di Thailand

Foto National Thailand

Sekurang-kurangnya 42 ekor kuda lumba dilaporkan mati, disyaki akibat jangkitan penyakit Kuda Afrika, lapor seorang doktor veterinar di Nakhon Ratchasima, Thailand baru-baru ini.

Kematian haiwan itu ditemui semasa pemeriksaan di sebuah kandang di wilayah Pak Chong, kata doktor veterinar tersebut, Pasawee Somjai di pejabat Jabatan Pembangunan Penternakan.

Bagaimanapun, dia tidak memberikan maklumat terperinci mengenai lokasi kandang atau waktu bila kematian haiwan tersebut berlaku.

Sampel ujian bangkai haiwan itu telah dihantar ke Institut Kebangsaan Kesihatan Haiwan untuk siasatan dan keputusannya akan diketahui dalam minggu ini.

Pasawee berkata lagi, semua bangkai kuda yang mati di wilayah itu telah dibakar bagi mengelakkan sebarang serangga hinggap dan menyebarkan virus tersebut kepada haiwan lain.

Difahamkan, kematian kuda-kuda itu mungkin berlaku sebelum Khamis, semasa Kesatuan Ekuestrian Thailand memaklumkan melalui surat pada 26 Mac bahawa semua ahli ekuestrian dilarang membawa keluar kuda dari kawasan mereka untuk membendung penyebaran penyakit itu.

Serangga kecil, Gnats yang menjadi agen penyebar penyakit Kuda Afrika. Gambar: Google

Notis itu dikeluarkan selepas kesatuan tersebut mendapat tahu akan kejadian kematian beberapa ekor kuda secara mengejut di kawasan itu, katanya.

Penyakit Kuda Afrika adalah sejenis penyakit tular yang bermula di Afrika.

Ia kebiasannya akan menyerang kuda dan keldai melalui serangga Gnat sebagai pembawa penyakit.

Virus itu akan merosakkan paru-paru dan sistem pernafasan haiwan itu dengan pantas dan boleh menyebabkan kematian hanya dalam beberapa jam sahaja.

Sumber: Bangkok Post, SiakapKeli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *