COVID-19: Kapal Asing Dihalau Dari Perairan Sabah

Bot PPM memeriksa bot-bot kecil ketika melaksanakan Op COVID-19 di perairan Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Semua bot kumpit, bot membawa ikan dan ikan hidup dari Indonesia serta Hong Kong disekat untuk memasuki perairan Sabah buat masa ini hingga kerajaan memberi arahan lanjut.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata setakat ini ada tiga sekatan utama diberi keutamaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Pertama mengekang kemasukan bot kumpit dari Indonesia dan ia diharamkan sama sekali untuk memasuki Sabah pada masa ini. Kedua, bot atau kapal dari Indonesia ke Sabah dan kapal Hong Kong untuk membawa ikan hidup ke negeri ini.

“Baru-baru ini, kami menghalau sebuah bot kumpit yang cuba masuk ke perairan Sandakan. Kini kita ada enam buah lagi masih ada di Sabah, iaitu empat di Sandakan dan dua di Tawau.

“Kami mengarahkan kumpit ini untuk dihalau keluar dari Sabah tetapi ada sedikit kekangan dari segi masalah dokumentasi dan beberapa dokumen perlu diselesaikan. Selepas sahaja selesai, ia akan dihalau keluar dari Sabah secepat mungkin,” katanya ketika ditemui selepas Op COVID-19 di perairan Pulau Gaya di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, sepanjang Op COVID-19, sejumlah 22 bot ronda melakukan operasi dengan kekuatan seramai 320 orang di seluruh Sabah.

“Bagi menguatkuasakan PKP di Sabah ini, PPM sudah mengenal pasti 14 tempat pemeriksaan, iaitu Labuan, Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau,” katanya.

Katanya, PPM juga memfokuskan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Setakat ini, PPM sudah membuat empat kes penangkapan sepanjang PKP dijalankan, iaitu tiga kes di Kudat dan Kota Kinabalu (1).

“Saya mengharapkan masyarakat maritim mematuhi PKP yang dikuatkuasakan kerajaan dan pasukan PPM terus memberikan komitmen yang baik bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *