Darah Dari Johor Ke Sabah

Petugas Bank Darah Johor membuat persiapan bagi menghantar darah ke Sabah. Foto Ihsan Facebook Kempen Derma Darah Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Sebanyak 368 beg darah dari Johor diterbangkan ke Sabah dengan pesawat Charlie C130, semalam.

Penghantar beg darah itu dibuat dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menerusi hantaran di Facebook Jadual Kempen Derma Darah Johor Bahru, kesemua pek darah itu selamat mendarat di Sabah, pada petang semalam.

Katanya, ia bertujuan membantu Pusat Darah Wilayah Sabah yang berdepan situasi bekalan darah berada pada tahap sangat kritikal.

“Ia membabitkan 188 beg darah dari Johor, 145 dari Pusat Darah Negara (PDN) dan 35 dari Melaka.

“Bantuan ini diharap dapat memastikan perkhidmatan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II tidak terganggu.

“Semoga dipermudahkan urusan semua yang membantu terutamanya pasukan Tabung Darah Johor,” kata hantaran itu.

Katanya, bekalan darah amat diperlukan setiap masa dan fakta ini memang tidak dapat disangkal.

“Semua hospital terbabit dalam derma darah ini termasuk Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang, Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat, Hopital Segamat, PDN dan Bank Darah Melaka,” katanya. – Harian Metro