COVID-19: Sukar Kebumi Mayat

 Keranda bersusun di hadapan gereja menanti masa untuk digunakan. Foto Reuters

Milan: Bergamo menjadi antara wilayah yang berdepan kesukaran untuk mengebumikan mayat berikutan peningkatan kes kematian akibat wabak Covid-19.

Sehingga semalam, lebih 69,000 kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di Itali dengan hampir 7,000 kematian.

The Guardian melaporkan, situasi itu dapat dilihat apabila banyak keranda bersusun di luar gereja, manakala individu yang meninggal dunia di rumah perlu disimpan di dalam bilik untuk beberapa hari sementara menunggu masa untuk dikebumikan.

Keadaan menjadi bertambah rumit sejak Rabu lalu apabila sekumpulan askar dilihat mengusung 65 keranda dari tanah perkuburan di bandar Bergamo untuk dibawa ke Modena dan Bologna di Emilia-Romagna.

Presiden Biro Tanah Perkuburan dan Pengebumian, Antonio Ricciardi berkata, pihaknya sudah melaksanakan hampir 600 pengebumian dan pembakaran mayat, sejak 1 Mac lalu.

“Kebiasaannya, kita melakukan 120 kerja pengebumian saja bulan sebelumnya, tetapi banyak kematian sejak dua minggu lalu.

“Amat menyedihkan kerana kita tidak pernah melihat situasi seperti ini,” katanya.

Difahamkan, ada 80 syarikat pengurusan pengebumian di sekitar Bergamo dan setiap satunya menerima puluhan panggilan dalam tempoh sejam.

Permintaan kian meningkat, tetapi penyedia perkhidmatan berdepan masalah berikutan bekalan keranda yang berkurangan selain ada antara pekerja dijangkiti wabak itu hingga menghalang persiapan pengebumian.

Hospital juga sudah mengetatkan peraturan iaitu mayat perlu diletakkan terus ke dalam keranda bagi mengelak risiko jangkitan.

Keluarga juga tidak boleh memberi penghormatan terakhir atau melakukan upacara pengebumian. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *