Lebih 90% Masyarakat Sandakan Patuh PKP

SANDAKAN: Lebih 90 peratus masyarakat di sini mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan sejak dilaksanakan seminggu yang lalu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata hanya segelintir yang tidak mematuhi dengan kebanyakan mereka keluar ke pasar untuk mendapatkan bekalan makanan pada waktu pagi atau bersukan pada sebelah petang.

Beliau menasihatkan orang ramai agar menghadkan aktiviti di luar dan memberi kerjasama kepada pasukan pemantau serta pihak keselamatan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

“Saya harap dalam tempoh perintah ini, masyarakat hadkan aktiviti. Kalau mahu keluar beli (stok) makanan untuk tiga hari atau seminggu, jangan setiap hari ke pasar.

“Kita sebagai masyarakat patut beri kerjasama sepenuhnya untuk pastikan rangkaian wabak dapat diputuskan. Kalau hanya pihak berkuasa saja yang beri nasihat sepanjang masa tapi tidak diendahkan oleh masyarakat, ini satu yang tidak baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat rondaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sekitar perairan daerah ini.

Kawasan letak kereta Jalan Dua, Bandar Sandakan yang lengang meskipun sudah memasuki waktu tengahari.

Rondaan itu membabitkan polis serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Mengenai rondaan itu, Mohd Azhar berkata, keadaan perairan terutama di pesisir pantai agak lengang dengan hanya segelintir nelayan yang masih meneruskan aktiviti menangkap ikan.

Beliau turut menasihati pengusaha bot penambang untuk menghadkan pergerakan masuk ke bandar Sandakan dengan hanya bot yang membawa penumpang bagi mendapatkan rawatan perubatan atau bekalan makanan dibenarkan.

“Kita juga ada kesan sebuah kumpit dari Filipina yang telah masuk ke perairan kita dan kita telah arahkan mereka pulang.

“Kumpit tidak dibenarkan masuk ke perairan kita bermula hari ini susulan arahan kerajaan negeri untuk menghentikan serta merta kemasukan kumpit dari luar negara,” katanya. Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *