Kerajaan Beri Bantuan Khas Tunai RM500

KOTA KINABALU: Golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih di negeri ini akan menerima bantuan khas tunai berjumlah RM500 seorang secara ‘one-off’.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, bantuan berkenaan khusus untuk golongan miskin dan miskin tegar di Sabah yang terjejas oleh wabak COVID-19.

Katanya, bagi meringankan kesulitan yang dihadapi golongan berkenaan untuk menampung keperluan harian dalam waktu sukar ini, kerajaan negeri menyediakan bantuan khas yang akan diserahkan kepada ketua isi rumah sebagaimana yang terdapat dalam sistem e-Kasih sedia ada.

Menurutnya, bantuan berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta yang dijangka memberikan faedah kepada 22,456 ketua isi rumah miskin dan 15,747 ketua isi rumah miskin tegar di seluruh Sabah.

Beliau berkata, bagi golongan berpendapatan rendah (B40), kerajaan turut menyediakan bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM300 seorang membabitkan peruntukan sebanyak RM80 juta.

“Ini termasuklah anak-anak Sabah yang bekerja di Semenanjung dianggarkan seramai 30,000 orang; pemandu-pemandu teksi seramai 13,132 orang; petani atau pekebun-pekebun kecil; nelayan dan penternak seramai 169,630 orang; ‘porter’ dan malim gunung seramai 339 orang.

“Bantuan ini juga diberikan kepada kumpulan seperti warga tua, anak-anak yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU) yang melibatkan jumlah seramai 62,638 orang dan ibu-ibu tunggal seramai 6,500 orang di seluruh Sabah,” katanya pada sidang media di sini hari ini (25 Mac).

Shafie berkata, bantuan khas berkenaan akan diagihkan mengikut senarai sedia ada di dalam sistem e-Kasih dan B40. Justeru, pihaknya akan memastikan pemimpin dan lebih 3,000 petugas di bawah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk bergerak ke setiap kampung bagi menyalurkan bantuan berkenaan.

Dalam pada itu, pihaknya sedar pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan menjejaskan pembayaran elaun bulanan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sabah.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri mengambil langkah pro-aktif untuk memastikan MPKK terus menerima elaun dengan memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi membayar elaun  MPKK dalam tempoh 10 bulan akan datang termasuk bulan ini.

Langkah itu jelasnya, akan memberikan faedah kepada seramai 2,315 MPKK di seluruh Sabah. Pada masa sama, semua pekerja bergaji hari lantikan kerajaan negeri yang tidak dapat bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga akan dibayar gaji sewajarnya.

SumbeR: Utusan Borneo

28752