COVID-19 : Warga Malaysia Meninggal Di London

Allahyarham Husin Long. – Foto ihsan Facebook Melayu-London

LONDON: Seorang warga Malaysia yang menetap di London, Husin Long, 75, disahkan meninggal dunia di Hospital Royal Free, jam 5 petang Ahad lalu akibat COVID-19.

Berita itu disahkan oleh anak lelakinya, Mohammad Ali, 28, yang memaklumkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan hari ini jam 2 petang di Garden of Peace, London, dengan hanya 10 orang dibenarkan berada di tanah perkuburan.

Allahyarham Husin Long berasal dari Melaka dan pernah berkhidmat di pangkalan tentera laut British sebelum berhijrah ke London.

Mohammad Ali berkata ayahnya menjalani saringan dan disahkan positif COVID-19 sebelum meninggal dunia dalam masa yang singkat.

“Ketika arwah dimasukkan ke hospital dua hari lalu dengan kesukaran bernafas, pasukan perubatan tidak begitu pasti kerana dia mempunyai beberapa masalah kesihatan.

“Paru-parunya tidak berfungsi dan mereka mengesyaki ayah positif COVID-19, cuma tidak begitu pasti,” katanya.

Sementara itu, isteri kepada Allahyarham Husin, Zauyah Embi, 66, berkata suami pada mulanya mengalami simptom seperti demam tetapi selepas mengambil ubat tahan sakit, kesihatannya beransur pulih.

“Beberapa hari selepas itu, tahap kesihatan Husin semakin merosot dan saya minta dia banyakkan minum air.

“Saya lihat mukanya pucat dan dia sukar bernafas, lalu saya minta anak lelaki (Ali) menghubungi ambulans dan Allahyarham dibawa segera ke hospital,” katanya yang turut dikenali dengan nama Joyah oleh masyarakat Malaysia di London.

Zauyah berkata, keesokan harinya dia berhasrat melawat suami, namun pihak hospital menasihati supaya tidak berbuat demikian kerana risiko dijangkiti.

Husin dan Zauyah yang bekerja sebagai chef di The Dorchester Hotel, adalah antara ahli Kelab Melayu London yang diasaskan pada era 60an untuk pelaut, pelajar dan pengembara.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, empat anak dan beberapa cucu.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *