KOTA KINABALU: Kesemua 12 orang jemaah tabligh dari Beaufort yang menghadiri Ijtima’ Tabligh Akbar Dunia Zon Asia 2020 di Pakatto, Kabupaten Gowa Makasar Indonesia berada di negara jiran itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia.
“Selain itu, tiada seorang pun dari kami yang menghadiri Perjumpaan Tabligh di Masjid Sri Petaling baru-baru ini,” kata Ketua Rombongan, Haji Ali Dad Fazal Elahi.
Beliau berkata demikian ketika menghubungi Utusan Borneo kelmarin bagi menepis pelbagai khabar angin mengenai jemaah tabligh yang menghadiri Ijtima’ Tabligh Dunia Zon Asia di Makassar.
Menurutnya, rombongan jemaah tabligh dari Beaufort tiba di Makassar sebelum PKP dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia.
“Ada yang tiba di Makassar pada 10 Mac, 12 Mac dan ada yang tiba pada 17 Mac iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.
“Apabila Pemerintah Indonesia meminta jemaah tabligh menangguhkan perhimpunan kerana virus COVID-19 maka ketua-ketua atau dikenali Syura Jemaah Tabligh Indonesia memberitahu semua hadirin bahawa perhimpunan yang sepatutnya berlangsung selepas solat Asar 19 Mac dan dijadual tamat pada 23 Mac ditangguhkan. Selepas solat Zohor pada 19 Mac, Maulana Ibrahim memberi nasihat dan membacakan doa kepada peserta.
.
“Sebelum solat Zohor pada 20 Mac, kami sudah menaiki pesawat dari Makassar ke Tarakan dan transit selama 30 minit di Balikpapan. Sampai di Tarakan, kami menginap di Hotel Swissbell Tarakan kerana penerbangan dari Tarakan ke Tawau ialah pada 21 Mac jam 11.00 pagi menggunakan pesawat Maswing.
“Bagaimanapun kami tidak dibenarkan menaiki pesawat. Selaku ketua rombongan , saya hubungi Sharifah Zaleha Habib Yusuf di Pejabat Majis Keselamatan Negeri Sabah dan minta kebenaran untuk kami balik ke Sabah,” katanya.
“Kami tidak dibenarkan menggunakan pesawat kerana ramai orang awam. Maka kami dinasihatkan ikut jalan laut dari Tarakan ke Tawau,” kata Haji Ali Dad.
“Kami sewa bot dan Pemerintah Indonesia membuka jalan dan kami diminta ke Pelabuhan Besar Tarakan untuk cop pasport dan kami keluar menggunakan Bot Barongko Masagena’e dari Tarakan dengan diiringi oleh bot Marin hingga sempadan Sabah supaya selamat sampai ke pelabuhan Tawau dan tiba kira-kira jam 3.40 petang.
“Waktu itu hari Sabtu 21 Mac, semua pejabat tutup. Tapi Alhamdulillah semua agensi Pejabat Kerajaan Sabah, Pengarah Imigresen, Jabatan Kesihatan, Askar, PDRM, JHEIANS dan lain-lain menunggu kami,” katanya.
“ Alhamdulillah, kami rombongan jemaah tabligh Sabah, Markaz Haji Akhbar Khan Kampung Bingkul Beaufort bersyukur dilayan dengan baik dan dibenarkan pulang Ke Sabah. Kami sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak kerajaan,” katanya.
“Ketika ini kami ditempatkan di IPG Tawau di Balung untuk kuarantin selama 14 hari.
Selain Haji Ali Dad Fazal Elahi, delegasi dari Sabah yang lain ialah Chong Wee Lon, Latip Kula, Poh Chang-Kee @ Jamal Poh, Mohd Sari Abdul Samad, Mohd Anizam Mohd Alifa, Abd Rahman Haji Omar, Zulkifle Hidop, Rusbandi bin Sahar Satria, Kadir bin Talib, Donius Yapai dan Bundo Mussappa.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya Kerajaan Negeri Sabah. Kami dilayan dengan cukup baik dan dijaga seperti VIP,” katanya.
SumbeR: Utusan Borneo