Suami Isteri Meninggal Dunia Selang Dua Jam Akibat COVID-19

Severa Belotti dan suaminya, Luigi Carrara menghabiskan hari-hari terakhir mereka dalam kuarantin di rumah. – NewsFlash/Australscope

BERGAMO (ITALI): Sepasang suami isteri yang sudah berkahwin selama 60 tahun meninggal dunia akibat coronavirus (COVID-19), selang dua jam antara satu lain.

Severa Belotti, 82 dan suaminya, Luigi Carrara, 86 menghabiskan hari-hari terakhir mereka dalam kuarantin di rumah, yang terletak di pekan Albino dalam wilayah Bergamo, utara Itali.

Anak lelaki mereka, Luca Carrara mendakwa, mendiang ibu bapanya dikuarantin di rumah selama lapan hari tanpa sebarang bantuan perubatan, dan mengalami demam dengan suhu mencecah 39 darjah selsius.

Luca yang teramat sedih memberitahu akhbar Corriere della Sera bahawa bapanya, Luigi dibawa ke hospital Bergamo pada Sabtu, manakala ibunya dimasukkan ke premis rawatan sama keesokan harinya.

Kematian pasangan itu dicatatkan pada jam 9.15 dan 11 pagi, Selasa lalu.

Menurut Luca, beliau tidak dapat bertemu atau melihat mayat kedua-dua ibu bapanya bagi memberikan penghormatan terakhir kerana virus itu.

“Ibu bapa saya terperangkap di dalam rumah untuk satu tempoh panjang kerana tiada doktor berada berhampiran.

“Saya cuba menghubungi perkhidmatan kecemasan 112 namun tiada bantuan diterima,” katanya.

Pihak berkuasa Itali kebelakangan ini dihujani rungutan berhubung pelaksanaan perintah kuarantin akibat COVID-19.

Kelmarin, seorang aktor dilaporkan terpaksa berkurung dengan mayat kakaknya yang meninggal dunia akibat COVID-19 selama lebih 36 jam. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *