Solat Jumaat Diteruskan, Pendekkan Khutbah, Wuduk Di Rumah

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri menyarankan khutbah solat Jumaat dipendekkan ketika negara berdepan dengan wabak Covid-19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri DrZulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, khutbah itu perlu terus kepada mesej yang hendak disampaikan.

Saranan itu antara lima kertas kerja yang akan dikemukakan kepada Majlis Fatwa untuk dibincang dan mendapatkan solusi berhubung situasi yang berlaku ketika ini.

Menurut Dr Zulkifli , dalam kertas kerja itu beliau menyarankan agar jemaah mengambil wuduk di rumah dan pihak masjid diminta menyediakan penutup hidung dan mulut dan cecair pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan.

Menurut beliau, mereka yang mengalami simptom Covid-19 tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit.

“Individu yang disahkan positif Covid-19 dibolehkan tidak mengerjakan solat Jumaat, tetapi diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, selain solat Jumaat, pihaknya turut menyarankan mengadakan perbincangan dengan Majlis Fatwa berhubung nikah kahwin dan pengurusan mayat iaitu garis panduan sekiranya membabitkankes COVID-19.

Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah menasihati orang ramai, terutama umat Islam mengelakkan daripada menghadiri sebarang bentuk perhimpunan.

“Bagi yang hendak menunaikan solat Jumaat, sebolehnya jangan berhimpun di kawasan yang dikenal pasti ada wabak,” katanya selepas menghadiri majlis Tausiyah AM agensi agama di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Ahmad Marzuki Shaary dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Paimuzi Yahya.

“Pihak kami mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu dan menasihatkan orang ramai agar mengelakkan daripada melancong ke negara yang terjejas dengan wabak COVID-19,” katanya.

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hadir di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin pada 8.45 pagi bagi memulakan tugasnya dengan solat duha dan bacaan doa selepas selesai solat. – Harian Metro

1064