Geng Gerudi Aktif Sindiket Curi Kereta Di Sekitar KK Tumpas

Polis membuat demonstrasi cara menebuk kunci kenderaan menggunakan mesin gerudi yang dilakukan oleh Geng Gerudi semasa kegiatan mencuri kereta.

KOTA KINABALU: Sindiket curi kereta yang bergiat aktif sejak sebulan lalu di sini tumpas dengan tertangkapnya ahli kumpulan itu yang dikenali sebagai Geng Gerudi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, seorang daripada tujuh lelaki yang ditangkap merupakan bekas pekerja pejabat pos yang sempat mencuri lesen kenderaan bermotor di tempat kerjanya sebelum dibuang kerja.

Beliau berkata, tiga daripada tujuh orang ahli geng tersebut berjaya ditangkap semasa satu serbuan di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada 28 Februari, iaitu pada hari sama selepas polis menerima aduan kehilangan kereta.

“Pengadu telah meletakkan kenderaan jenis Toyota Hilux miliknya di Hospital Queen Elizabeth II dan apabila pengadu balik ke tempat letak kereta pada waktu petang, beliau mendapati keretanya telah hilang.

“Bertindak atas maklumat, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis*m Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah membuat serbuan di sebuah hotel dan menangkap tiga lelaki bersama rampasan dua kenderaan yang mana salah satu kenderaan tersebut adalah yang dilaporkan hilang oleh pengadu,” katanya semasa sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini, Rabu.

Habibi (dua dari kanan) semasa sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu, di sini, Rabu.

Menurut beliau, terdapat pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan sindiket tersebut seperti anak kunci kereta, gerudi, pelbagai jenis lesen kenderaan bermotor dan komputer riba dijumpai dalam dua kenderaan tersebut.

“Hasil siasatan lanjut, polis telah menahan tiga lagi rakan sejenayah ahli geng tersebut pada keesokan harinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

“Polis juga telah merampas kenderaan jenis Perodua Alza dan pelbagai barang kes lain yang digunakan untuk tujuan sindiket curi kenderaan semasa tangkapan itu,” ujarnya.

Antara peralatan jenayah yang dirampas.

Pada 2 Mac, rakan sejenayah geng itu iaitu bekas pekerja pejabat pos yang mencetak lesen kenderaan bermotor dan menjual pada harga RM250 sehingga RM500 berjaya ditangkap di Jalan Damai.

Megulas lanjut, Habibi berkata modus operandi Geng Gerudi mensasarkan kenderaan jenis pacuan roda empat di tempat letak kereta terbuka ataupun yang diparkir di tepi jalan.

Sebuah kenderaan jenis Perodua Axia turut disewa yang digunakan oleh ahli geng tersebut untuk mencari sasaran di sekitar Kawasan Kota Kinabalu manakala seorang lagi ahli geng tersebut bertanggungjawab membuat nombor pendaftaran kenderaan di Kampung Air dan Kepayan 88.

Setelah menjumpai kenderaan yang disasarkan, salah salah seorang suspek akan menebuk kunci kenderaan menggunakan mesin gerudi sambil dibantu oleh seorang rakan sejenayah yang bertindak sebagai pemerhati di tempat kejadian.

“Kenderaan yang dicuri kemudiannya akan diparkir di hotel yang berhampiran sebelum mendapat pembeli melalui orang tengah yang dikenali sebagai Napang di daerah Miri, Sarawak dan Tawau dengan tawaran harga yang lebih rendah,” katanya.

Dalam pada itu, Habibi menyeru masyarakat awam yang mempunyai maklumat mengenai orang tengah itu yang dikenali sebagai Napang agar tampil bantu polis dalam siasatan.

“Setakat ini, polis telah menemukan semula Toyota Hilux yang dicuri di hospital dan empat lagi kes yang melibatkan kehilangan satu kenderaan di Kota Kinabalu, dua di Kompleks Karamunsing, dan satu di Tanjung Aru, masih dalam siasatan,” jelasnya.

Ketujuh-tujuh saspek merupakan rakyat tempatan dalam lingkungan umur 27 tahun sehingga 38 tahun di mana empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah membabitkan kesalahan curi kenderaan.

Habibi berkata, ‘mastermind’ Geng Gerudi yang berumur 38 tahun berasal dari Ampang, Selangor dan mempunyai empat rekod jenayah serta mempunyai perintah sekatan bermula 17 April 2019 sehingga 16 April 2021 di Beaufort.

Manakala, ujian saringan air kencing kesemua suspek yang direman selama 13 hari itu adalah negatif dalam penyalahgunaan dadah.

Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, iaitu jenayah mencuri kenderaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun, jika sabit kesalahan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *