Remaja Bunuh Budak 6 Tahun Dapat Idea Dari Filem Seram

Remaja perempuan 15 tahun menyerah diri kepada pihak polis selepas membunuh jirannya berusia enam tahun.

Jakarta: Seorang remaja perempuan tergamak membunuh kanak-kanak berumur enam tahun dipercayai kerana terpengaruh dengan babak ngeri dalam filem seram kegemarannya.

CNN Indonesia melaporkan suspek yang berusia 15 tahun itu membunuh budak perempuan itu di sebuah rumah dekat kawasan Sawah Besar di sini.

Ketika kejadian, suspek dilaporkan meminta bantuan mangsa untuk mengambil alat permainan yang terjatuh di dalam tab mandi.

Dia kemudian bertindak membunuhnya sebelum menyembunyikan mayat mangsa di dalam almari.

Bagaimanapun, suspek kemudian menyerah diri di Balai Polis Deerah Metro Taman Sari Jakarta Barat.

Ketika itu, dia dalam perjalanan ke sekolah.

Suspek berkata, dia tidak menyesal sebaliknya puas kerana dapat membunuh mangsa yang juga jirannya.

“Pelaku dalam keadaan sedar mengakui membunuh dan tidak menyesal tetapi puas dengan perbuatannya itu.

“Namun, siasatan lanjut perlu dijalankan dengan bantuan pakar psikiatri bagi memeriksa sama ada suspek mempunyai masalah jiwa atau sebaliknya,” kata Ketua Polis Jakarta Pusat, Komisaris Besar Heru Navianto.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Metro Jaya, Komisaris Besar Yusri Yunus berkata, suspek mengakui gemar menonton filem seram, salah satunya Chucky dan manakala Slender Man adalah karakter kegemarannya.

“Berdasarkan soal siasat, suspek mengakui pernah menyimpan keinginan untuk membunuh sebelum ini tetapi dipendam sehingga pada hari kejadian,” katanya.

Polis sudah mengumpul bahan bukti seperti peralatan digunakan untuk membunuh dan gambar serta catatan harian suspek bagi melengkapkan siasatan. – Agensi

5639