DAP Komited Bersama Shafie Apdal – Phoong

Ginger Phoong Jin Zhe (kiri) bersama Shafie Apdal (kanan),

KOTA KINABALU: DAP Sabah akan terus kukuh bersama Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam menghadapi kemelut pentadbiran di peringkat persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Ginger Phoong Jin Zhe berkata, meskipun kecewa dengan senario semasa di ibu negara, pihaknya tetap komited  untuk bersama Mohd Shafie mentadbir kerajaan negeri.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah itu berkata, mempertahankan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu akan terus menjadi keutamaan.

“Saya selaku Menteri Belia dan Sukan Sabah, selaku ADUN di Sabah, sudah  tentunya akan terus berusaha mempertahankan mandat yang dilakukan oleh rakyat Sabah pada PRU yang lepas.

“Saya selaku ADUN dari DAP, kita akan terus bersama Mohd Shafie dan pimpinannya Parti Warisan Sabah (Warisan), Kerajaan Negeri Sabah, terus memimpin negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini situasi politik di Sabah.

Sehingga hari ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan negeri Sabah, yang ditabdir Warisan, berhubung pendirian sokongan terhadap Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Phoong yang juga Setiausaha Publisiti DAP Sabah mendedahkan, terdapat usaha menarik wakil rakyat di Sabah supaya ‘melompat’ parti bagi menukar kerajaan sedia ada.

“Tidak dinafikan, ada kelakuan atau cubaan, untuk menarik ADUN-ADUN di Sabah, untuk lompat sini, lompat sana, untuk tukar dan tumbangkan kerajaan Warisan bersama dengan rakan-rakan Pakatan Harapan dan UPKO.

“Tetapi, saya nak kongsikan, sebagai ahli politik muda, sudah sampai masanya kita tukar dinamik, tukar landskap politik di Sabah.

“Selama ini Sabah dilanda oleh politik lompat, banyak lompat sini, lompat sana, tukar sini, tukar sana, tumbang kerajaan, tidak ikut mandat,” katanya.

Untuk rekod, Warisan setakat ini mempunyai kerusi DUN terbanyak dengan jumlah 31 buah kerusi diikuti sekutunya DAP (6 kerusi), UPKO (4) dan PKR (2).

Sementara itu, parti-parti lain, Bersatu mempunyai 9 kerusi, PBS (4), STAR (3) dan UMNO (1). – Awani Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *