Isu Rampas Kerajaan Sabah Tidak Wujud

Shafie adalah Ketua Menteri untuk semua bangsa di negeri ini

KOTA KINABALU: Isu merampas kerajaan Sabah tidak pernah wujud memandangkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah pemimpin kepada semua bangsa dalam negeri ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon berkata, Shafie mempunyai prinsip yang kukuh dan sentiasa konsisten dalam pentadbiran beliau.

“Semua wakil rakyat kita gembira dengan kepimpinan beliau, saya pun gembira kerana beliau membawa Sabah ke landasan yang betul.

“Dia adalah Ketua Menteri kepada semua rakyat di Sabah tanpa mengira perbezaan latar belakang dan sangat prihatin terhadap kebajikan masyarakat dalam negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pra Pelancaran Inisiatif Pendigitalan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KKKR) 2019, di sini.

Beliau berkata, Sabah mempunyai jumlah 65 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk lima ADUN dilantik dan 48 kerusi adalah dimiliki Parti Warisan Sabah (WARISAN), UPKO dan Pakatan Harapan (DAP dan PKR).

Katanya, kemelut politik yang berlaku di peringkat Pusat tidak akan menjejaskan pentadbiran Kerajaan Sabah khususnya dalam kalangan Ahli DUN.

“Bagi DAP Sabah, komitmen dan prinsip kami adalah sangat kuat dan kukuh kepada kerajaan Sabah.

“Sejak diberikan mandat rakyat pada 2018, kami fokus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini. Selain itu kami juga setia kepada pemimpin kami,” katanya.

Beliau turut menjelaskan isu demikian tidak pernah dibincangkan sebaliknya terus fokus untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, Setiausaha Tetap KKKR Datuk Janet Chee dan Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Rosmadi Datu Sulai.

Sumber: Utusan Borneo

1501