Demi Cari Rezeki, Penjual Ais Krim Meninggal Dunia Atas Motosikal

Misyanto ditemui penduduk meninggal dunia di atas motosikal ketika menjual ais krim. -Foto: Suara Indonesia

JAVA – Demi mencari rezeki, seorang penjual ais krim ditemui meninggal dunia di atas motosikalnya di Jalan Ledokombo daerah Sumber, Probolinggo, Java Indonesia.

Misyanto, 66, ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan kepalanya terlentok di bahagian pemegang motosikal jenis Honda berwarna merah.

Saksi kejadian, Suwoco, 40, berkata, ketika melalui jalan tersebut, keretanya terhalang dengan motosikal si mangsa.

“Pada mulanya, Suwoco cuba membunyikan hon kereta agar mangsa beralih ke tepi jalan.

“Tetapi mangsa tidak bergerak membuatkan saya keluar dari kereta. Saya menghampiri mangsa dan melakukan pemeriksaan, mangsa tidak bergerak dan terus hubungi polis.

“Sebaik sahaja anggota polis melakukan pemeriksaan bersama petugas perubatan, mendapati mangsa telah meninggal dunia.” katanya kepada Suara Indonesia.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis mendapati tiada unsur jenayah kerana semua barang berharga milik mangsa tidak hilang.

“Berdasarkan keterangan ahli keluarga, mangsa sering mengadu sesak nafas dan pening kepala namun tetap berkeras mahu bekerja untuk mencari rezeki,” kata jurucakap Balai Polis Daerah Sumber, Iptu Sono.