(VIDEO) “Spesies & Rupa Pelik,” Ribuan Obor-Obor Merah ‘Banjiri’ Pantai Labuan

LABUAN, 3 Mac: Ribuan obor-obor merah yang jarang dilihat, ditemui terdampar sepanjang Pantai Mawilla, lokasi perkelahan yang terkenal di sini, sejak minggu lepas sehingga hari ini.

Ramai pihak tertanya-tanya bagaimana spesies dengan rupa yang pelik dan unik itu boleh muncul di sepanjang kira-kira 400 meter pinggir Pantai Mawilla, dengan Jabatan Perikanan Labuan telah mengkategorikan kehadiran haiwan laut itu sebagai fenomena yang jarang berlaku.

Kemunculan haiwan laut itu juga menimbulkan persoalan seterusnya – perlukah masyarakat takut dengannya.

Foto Media Sosial

Dua pakar hidupan laut iaitu Jabatan Perikanan dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjelaskan haiwan laut itu boleh menyebabkan kerengsaan kulit, alahan dan ketidakselesaan.

Justeru, masyarakat dinasihati tidak menyentuh obor-obor walaupun telah mati.

Fenomena itu dikaitkan dengan keadaan angin dan gelombang yang kuat, ketika arus air Laut China Selatan di Labuan menghala ke arah selatan, menyebabkan obor-obor itu itu dihanyutkan ke perairan cetek berhampiran pantai.

Obor-obor itu telah dikenal pasti oleh pakar di Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr B.A. Venmathi Maran sebagai Crambione mastigophora (Cnidaria, Scyphozoa) atau lebih dikenali dengan nama ‘Sea Tomato’.

“Spesies ini tidak diketahui mempunyai sengatan yang berbahaya kepada manusia, tetapi tentakel mereka masih boleh menyengat selepas haiwan itu mati.

“Oleh kerana obor-obor adalah perenang yang lemah, ini akan menyebabkan ia tidak dapat menahan alunan gelombang dan dengan itu dihanyutkan ke pantai,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Jabatan Perikanan Labuan, Faizal Ibrahim Suhaili ketika ditemui semasa pengambilan sampel di pantai,  mengingatkan orang ramai untuk tidak masuk ke dalam air berrhampiran lokasi obor-obor itu terdampar, kerana kemungkinan masih terdapat kumpulan obor-obor di kawasan itu.

Foto Media Sosial
Foto Media Sosial
Foto Media Sosial

Sumber: Bernama