Pencipta, Penyanyi Selagi Ada Rindu Meninggal Dunia

Shafie Ahmad atau Pak Long meninggal dunia petang hari ini. Foto Ihsan Pembaca

Pencipta dan penyanyi lagu ‘Selagi Ada Rindu’, Shafie Ahmad, 54, atau lebih dikenali sebagai Pak Long meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani petang hari ini dipercayai akibat paru-paru berair.

Menurut anaknya, Nur Muhammad Idhoffy, 18, ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada 6.50 petang di sisi kesemua tujuh anaknya dan isteri selepas tiga hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

“Abah dirawat di HSAH sejak 8 Februari lalu selepas dipindahkan dari Hospital Sik.

“Sebelum ini abah dirawat di Hospital Sik selama 25 hari iaitu sejak awal Januari lalu akibat demam panas.

“Doktor beritahu paru-paru abah berair selain turut mengesyaki abah menghidap kanser darah,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang rumahnya di Kampung Batu 8, Sik tengah malam ini, dan dikebumikan pagi esok.

Selain terkenal dengan lagu Selagi Ada Rindu, Pak Long turut mencipta lagu Cinta Pantai Merdeka nyanyian Tropika dan lagu Al Jannah dendangan Mawi.- Harian Metro

2367