BERSATU Sabah Sambut Baik Muhyiddin Sebagai Perdana Menteri Ke-8

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menyambut baik Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Ketuanya Datuk Hajiji Noor sekali gus mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri baharu. BERSATU Sabah lega akhirnya kemelut politik negara yang telah berlarutan sejak seminggu lalu selesai dengan pelantikan berkenaan.

“Kini adalah masa untuk menumpukan kepada pembangunan negara dan perpaduan rakyat berbilang kaum,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Hajiji berharap Muhyiddin akan dapat membawa lebih banyak pembangunan di Sabah selain terus memberi perhatian terhadap hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

”Itulah harapan kami agar beliau (Muhyiddin) memberi keutamaan kepada pembangunan negeri dan rakyat Sabah yang masih jauh ketinggalan. Kami tahu beliau seorang pemimpin berpengalaman dan tahu akan keperluan Sabah,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo