KUALA LUMPUR: “Terima kasih semua.”
Itu kapsyen video yang dimuat naik oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir sejurus selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri Malaysia yang baharu hari ini.
‘Don’t be shy, shy (jangan malu, malu),” kata seorang daripada mereka yang hadir di pejabatnya di Yayasan Al-Bukhary, hari ini, kepada Dr Mahathir semasa isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mahu memeluknya.
Negarawan berusia 94 tahun itu kemudian menjawab, “Sudahlah” sebelum beliau memeluk isterinya selepas diminta berbuat demikian oleh mereka yang hadir di pejabatnya.
Anak pasangan itu, Marina, dilihat merakamkan detik manis ibu bapanya itu.
Setakat 2 petang ini, video berdurasi satu minit itu yang dimuat naik di Instagram telah mencatatkan lebih 610,000 tontonan dan lebih 16,000 komen.
Komen berkenaan secara amnya mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir atas kepimpinan dan sumbangan beliau sebagai perdana menteri keempat Malaysia dari 1981 hingga 2003, dan sekali lagi sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada 2018, selepas beliau menerajui Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14.
Mendoakan kesejahteraan beliau, kebanyakan netizen turut memberi komen bahawa ini masanya untuk Dr Mahathir berehat dan meluangkan lebih banyak masa dengan keluarganya.
Netizen @finasaffie berkata: “Terima kasih Tun …Ini masanya untuk anda berehat …luangkan masa anda dengan isteri dan keluarga tersayang …saya akan sentiasa menyokong anda dan anda akan sentiasa menjadi wira nombor satu saya.”
Sementara, @uyainaarsahd berkata: “Saya amat menyayangi anda berdua.” Seorang lagi pengikut, @aimiezainuddin berkata: “Terima kasih Tun. Jasa Tun akan dikenang sampai bila-bila. Jaga diri Tun.”
Komen diberikan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk @josephine_phen yang memuji Dr Mahathir atas sumbangan beliau terhadap negara.
“Seorang daripada tokoh paling hebat… Terima kasih Tun,” tulisnya.
Terdahulu, negarawan berusia 94 tahun itu yang juga Ahli Parlimen Langkawi mengadakan sidang media berhubung situasi politik semasa di Yayasan Al-Bukhary, di sini.
Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri interim selepas meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh pada 24 Feb.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kelapan Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.
Al-Sultan Abdullah melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri baharu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.