Baru Sokong Muhyiddin Selepas Mengetahui Tun M Mahu Berundur

Baru Bian

KUCHING: Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian menjelaskan beliau bersama beberapa rakannya mengambil keputusan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Kelapan selepas mengetahui Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mempertahankan tugasnya untuk memimpin negara ini.

Bekas Menteri Kerja Raya itu berkata, beliau memang menyokong Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan, sejak awal kemelut politik melanda.

Bagaimanapun katanya, agak malang apabila tindakannya memberi sokongan kepada Dr Mahathir itu membawa padah apabila beliau dipecat dari PKR.

“Saya dan rakan seperjuangan tidak pernah berpaling daripada menyokong Dr Mahathir sehinggalah pada 28 Februari 2020 iaitu ketika pertemuan di kediaman beliau.

“Kami difahamkan bahawa Dr Mahathir tidak akan meneruskan tugas untuk memimpin negara ini, berikutan itu kami kemudiannya memutuskan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baru berkata, pendiriannya jelas apabila beliau memberitahu Dr Mahathir mengenai sokongannya untuk terus memimpin dan memahami situasi getir sekarang.

“Kepada penyokong, keluarga, rakan dan rakyat Malaysia, saya berterima kasih di atas kesabaran ini dan saya berharap anda semua dapat bertenang dalam menghadapi kebuntuan politik ini,” jelasnya.

Sementara itu, Baru berkata, sepanjang 21 bulan bekerja dalam kabinet Dr Mahathir, banyak pencapaian diperolehi dalam membawa Sarawak ke arah yang lebih baik.

Malah katanya, Dr Mahathir juga berkongsi Wawasan Kemakmuran Bersama selepas memimpin negara.

“Saya mendapat sokongannya untuk memulakan beberapa projek utama untuk Sarawak selepas 50 tahun.

“Ia termasuk Jalan Penghubung Sarawak Sabah, Lebuh Raya TransBorneo, sekolah usang, baik pulih hospital dan banyak lagi,” katanya.

Menurutnya lagi, tidak dilupakan penjimatan dari pembatalan Rakan Pelaksana Projek (PDP)sebanyak RM2.86 bilion yang boleh digunakan untuk kebaikan Sarawak.

Malah, katanya, di bawah Dr Mahathir juga, Sarawak mendapat peruntukan yang besar dalam Belanjawan Negara 2020. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *