PH Yakin Anwar Dapat Sokongan Jadi PM

KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yakin Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah mendapat pencalonan terbesar dari kalangan Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan hari ini menyebut, keyakinan itu adalah berdasarkan proses menghadap Yang di-Pertuan Agong yang dibuat tempoh hari.

“Majlis Presiden percaya Anwar wajar diberi peluang menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan keyakinan majoriti Ahli Parlimen terhadap beliau.

“Majlis Presiden PH meletakkan kepercayaan terhadap proses, budi bicara serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong mencari penyelesaian dalam proses pelantikan Perdana Menteri,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, Majlis Presiden PH juga menyambut baik kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin hari ini.

“Kami menjunjung kasih terhadap perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk terus berusaha mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu pelantikan Perdana Menteri,” katanya.

Ahmad Fadil dalam satu kenyataan hari ini dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, belum memperoleh keyakinan seorang ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

Berikutan itu, Istana Negara akan berhubung dengan ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat bagi memberi peluang kepada mereka mengemukakan pencalonan nama Ahli Parlimen sebagai bakal Perdana Menteri.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah akan terus berusaha mencari jalan penyelesaian selaras Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara.

Sumber: Berita Harian

1468