(VIDEO) Sultan Ibrahim Rasmi Stadium Baharu JDT, Stadium Tercanggih Di Asia Tenggara

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan stadium baharu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim di sini, sebentar tadi.

Dengan perasmian itu, JDT akan menggunakan stadium baharu untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula hujung bulan ini dan akan menentang Kedah pada aksi pembuka tirai Liga Super serta merebut Piala Sumbangsih.

Bagi pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, jelas teruja tatkala pembukaan stadium baharu JDT itu melakar sejarah buat kelab yang ditransformasi sejak 2013 dan usaha menyasarkan nilai kelab berkenaan akan mencecah RM1 billion dalam tempoh dua tahun.

“Tujuh tahun terakhir ini cukup hebat di dalam mahupun di luar padang untuk JDT da pembukaan Stadium Sultan Ibrahim menandakan satu lagi sejarah buat Harimau Selatan.

“Selaku sebuah kelab, JDT yang berkembang sejak dari detik transformasi pada 2013. Kini kami berjaya mengatasi norma biasa dalam bola sepak Malaysia yang sering berusaha untuk mencipta penanda aras yang baharu bakal menaikkan standard dan mencabar batasan di peringkat antarabangsa,” kata Tunku Ismail.

Sepanjang pembinaan stadium yang bernilai RM200 juta sejak Januari 2016, Tunku Ismail adalah tonggak utama memainkan peranan penting dengan terbinanya stadium yang dianggap tercanggih di rantau Asia Tenggara.

Tunku Ismail sentiasa memantau pembinaan stadium berkenaan dan terbabit secara langsung apabila memastikan kedudukan stadium ini menerima cahaya matahari yang mencukupi bagi kebaikan pertumbuhan rumput.

Baginda juga memastikan kepingan cermin di keliling kawasan dalam stadium dirapatkan kedudukan kerusi penonton dengan padang selain meletakkan lampu LED berwarna merah, biru dan putih keliling luar stadium untuk pencahayaan.

Selain mampu memuatkan kapasiti penonton sejumlah 40,000, stadium yang dibina di atas tanah berkeluasan 28 hektar itu adalah sebahagian dari Bandar Sukan JDT yang akan menempatkan beberapa fasiliti sukan yang bakal dirancang.

Reka bentuk stadium yang diilhamkan daripada bentuk daun pisang itu turut dilengkapi kemudahan padang jenis ‘zoysian’ dan ia mencapai piawaian yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak antarabangsa (FIFA) selain sistem pencahayaan moden dan sistem bunyi yang canggih.

Sumber: Berita Harian

6098