2 Koperal Polis diambil Tindakan Tatatertib

LAHAD DATU: Dua anggota polis berpangkat koperal yang dikaitkan dengan penularan gambar memaparkan kanak-kanak ‘palauh’ (suku pelaut nomad) bergari bakal dikenakan tindakan tatatertib.

Difahamkan, gambar itu ditularkan selepas seorang daripada anggota terbabit menghantar gambar itu kepada rakan setugasnya memaklumkan kanak-kanak itu sudah ditangkap.

Kanak-kanak ‘palauh’ ditahan susulan satu gambar yang tular menunjukkan budak itu meminta sedekah di lampu isyarat Bandar Sri Perdana, Lahad Datu, baru-baru ini, sambil mengacukan pistol mainan kepada pengguna jalan raya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, pihaknya sudah mengenal pasti anggota polis yang dikaitkan dengan penularan gambar ketika kanak-kanak berkenaan ditahan.

Menurutnya, ia membabitkan seorang anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Lahad Datu berpangkat koperal dan seorang lagi anggota berpangkat sama yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

“Hasil siasatan, pemberian gambar itu dilakukan anggota berkenaan bertujuan memberitahu rakannya di IPD Keningau bahawa kanak-kanak itu sudah ditangkap.

“Rakannya dari IPD Keningau itu kemudiannya menularkan rakaman gambar berkenaan kepada awam,” katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Zaini berkata, polis memandang serius mengenai perkara itu kerana ia tidak mengikut prosedur mengikut Seksyen 15 Kanun Prosedur Jenayah dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) A120.

“Justeru itu, saya sudah mengarahkan agar siasatan tatatertib dijalankan terhadap kedua-dua anggota terbabit,” katanya.

Rabu lalu, gambar kanak-kanak meminta sedekah di lampu isyarat Bandar Sri Perdana, Lahad Datu sambil mengacukan pistol mainan kepada pengguna jalan raya tular di laman sosial.

Susulan itu, polis menangkap kanak-kanak itu bersama 14 lagi individu lain kerana didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Tidak lama selepas itu, gambar kanak-kanak berkenaan dengan tangan bergari sambil memegang pistol pula tular di media sosial.

Sumber: Harian Metro

6722