Najib, Rosmah Menghadap Polis Esok

Polis dijangka mengambil keterangan daripada bekas perdana menteri, Najib Razak, dan isterinya Rosmah Mansor, pagi esok.

Pasangan berprofil tinggi dan sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah itu perlu direkodkan kenyataan mereka berhubung siasatan yang dijalankan ke atas beberapa klip rakaman audio didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid, mengesahkan hal itu kepada Malaysiakini hari ini.

“Polis akan akan mengambil keterangan daripada Najib dan Rosmah pagi esok,” katanya ringkas.Iklan

Sebelum ini polis sudah merakam keterangan daripada 12 individu bagi membantu siasatan berhubung rakaman audio yang didakwa menunjukkan berlaku konspirasi jenayah peringkat tinggi.

Antara mereka ialah Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh; dan bekas pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin.

Pada 8 Jan lalu SPRM mendedahkan rakaman audio mengandungi perbualan beberapa individu yang antara lain membayangkan berlaku kebocoran maklumat dari Jabatan Peguam Negara kepada Najib berkaitan siasatan skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Selain Najib, perbualan itu dipercayai turut membabitkan bekas ketua pesuruhjaya SPRM sendiri, Dzulkifli Ahmad, yang ketika itu bertugas di Jabatan Peguam Negara. – MalaysiaKini

1235