Ali Puteh Terkilan Kenyataan Kakak Ipar

Adik kepada Abam, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan. Foto Asyraf Hamzah

Pelawak yang juga adik kepada Allahyarham Abam Bocey, Ali Puteh terasa hati dengan kenyataan kakak iparnya yang juga balu Allahyarham Abam, Siti Nurhidayah Mohd Ali ketika ditemu bual secara langsung di Instagram usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri, semalam.

Menerusi temu bual itu, Nurhidayah memaklumkan terdapat beberapa kekangan yang dihadapinya selepas pemergian arwah membabitkan harta peninggalan Abam termasuklah kereta yang didakwa diuruskan pihak keluarga Abam.

“Perasaan sedih tak tahu nak fikir macam mana. Sekarang fikir untuk anak saja. Nak besarkan dan sekolahkan macam mana.

“Sebelum ini saya bawa kereta, sekarang tak ada. Saya tak tahu sebab belah sana (keluarga Abam) yang uruskan. Saya tak berani nak jawab macam mana,” katanya dalam temu bual itu.

Disebabkan video dan kenyataan yang sudah tular itu sejak semalam, Ali memuat naik status yang menggambarkan perasaan terkilan terhadap kakak iparnya.

Malah, Ali juga turut memuat naik statuS yang ditujukan kepada Aliff Syukri yang dianggap mengambil kesempatan dalam situasi dihadapi keluarganya ketika ini.

“Aliff Syukri, aku cabar kau jumpa aku dan keluarga. Dasar orang kaya yang mengambil kesempatan!” katanya.

Sementara itu, Ali ketika dihubungi Harian Metro enggan mengulas lanjut mengenai status dimuat naik di IG yang didakwa ditujukan kepada kakak iparnya dan Aliff Syukri.

Ali berkata, pihaknya akan mengadakan sidang media untuk menjelaskan semua perkara yang berkaitan isu itu.

“Saya tak boleh nak komen lebih lanjut mengenai perkara ini. Dalam masa terdekat, saya akan mengadakan sidang media dan sekarang sedang menguruskan beberapa hal berkaitan majlis ini.

“Pihak saya akan menjelaskan satu persatu. Saya takut kalau keluar kenyataan sekarang ia akan menimbulkan fitnah dan mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya akan jemput semua rakan media untuk membuat liputan. Doakan saya,” katanya.

Dalam masa sama, Aliff menerusi akaun IG berkata, video yang dibuat itu adalah untuk saluran YouTube miliknya selepas mendapat persetujuan daripada pihak Hidayah.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan penjelasan daripada Nurhidayah gagal apabila panggilan telefon dan mesej tidak berbalas.

Sumber: Harian Metro

9005