Lelaki Tempatan Ditahan Edar Syabu Di Lahad Datu

Suspek ditahan bersama dadah jenis syabu – Foto IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah jenis syabu di sebuah hotel Jalan Teratai, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dalam kejadian pukul 8 malam itu, polis turut merampas 5.13 gram syabu dianggarkan bernilai RM769.50.

Syabu yang dirampas bersama suspek.- – Foto IPD Lahad Datu

“Terdahulu, sepasukan anggota polis melancarkan Op Ice Breaker di lokasi kejadian berdasarkan hasil risikan dan maklumat awam.

“Polis kemudian menyerbu sebuah bilik di hotel tersebut dan menemui seorang lelaki berumur 46 tahun di dalamnya,” katanya.

Menurut Nasri, selepas disiasat, suspek kemudian bertindak menyerahkan sendiri satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai syabu dan 15 gulung kertas timah.

“Ujian air kencing ke atas suspek juga menunjukkan positif kandungan dadah jenis methamphetamine.

“Sehubungan itu, polis merampas semua barangan tersebut dan suspek ditahan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BorneoToday

Foto IPD Lahad Datu
481