Abbot Dimaklum MH370 Kes Bunuh Diri

Sydney: Pemimpin kanan Kerajaan Malaysia memberitahu Kerajaan Australia bahawa kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, disebabkan tindakan bunuh diri.

The Straits Times melaporkan bekas Perdana Menteri Australia Tony Abbot mendakwa beliau awal-awal lagi diberitahu perkara berkenaan oleh individu berkenaan.

Abbot yang menjawat jawatan Perdana Menteri pada 2014 ketika tragedi itu, mendedahkannya dalam program dokumentari Sky News, pada Rabu.

“Apa yang saya faham daripada peringkat tertinggi kerajaan Malaysia adalah daripada awal, awal lagi, mereka berpendapat ia adalah tindakan bunuh diri oleh juruterbang,” katanya.

Bagaimanapun, Abbot tidak mendedahkan nama individu yang memberi maklumat berkenaan.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Pada 10 Februari lalu, Kerajaan Malaysia menegaskan tiada misi terbaharu untuk mencari pesawat berkenaan.

Sebelum ini, syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity, pada Mei tahun lalu mengesahkan misi pencarian MH370 sudah berakhir. – Agensi

2537