“Ashraf memang sudah tiada, tapi dia ada di sini,” kata bapa Allahyarham Ashraf Sinclair, Mohamed Anthony John Sinclair sambil memegang kepala anak Ashraf dan Bunga Citra Lestari (BCL), Noah Aidan Sinclair, 10.
Mohamed Anthony berkata demikian ketika berucap selepas pengebumian Ashraf di tanah perkuburan San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat, hari ini.
Jenazah selamat dikebumikan pada jam 4.47 petang waktu tempatan.
Sebaik Mohamed Anthony memulakan ucapannya, keluarga Ashraf dilihat menangis.
Dalam pada itu, BCL yang berpakaian serba putih dan tudung putih dilihat tenang walaupun matanya kemerahan dan berwajah sembab.
Walaupun dilihat cuba melemparkan senyuman, namun BCL tidak mampu menyembunyikan kesedihannya.
Ashraf menghembuskan nafas terakhir pada usia 41 tahun di Hospital MMC, Jakarta, pada jam 4.51 pagi hari ini akibat serangan jantung.
Sumber: Harian Metro