Gula-Gula ‘Ubat Kuat’ Produk Energy Candy Mengadungi Racun

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan produk viral menerusi media sosial, Energy Candy, mengandungi racun berjadual tadafil yang digunakan untuk pesakit yang mengalami mati pucuk (Erectile Dysfunction).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata selepas pihaknya mendapat maklum mengenai dakwaan bahawa produk itu mengandungi bahan terlarang seperti yang tular melalui media sosial, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) diarahkan untuk menjalankan pemantauan terhadap produk berkenaan.

Katanya, hasil pemantauan terhadap produk berkenaan mendapati, ia disahkan mengandungi racun berjadual dan dilarang penggunaannya dalam makanan bawah Akta Makanan 1983.

“Selain Energy Candy, produk lain yang mengandungi tadafil ialah ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

“Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah ‘Erectile Dysfunction’. Ubat ini hanya boleh diberikan kepada pesakit bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar.

“Penyalahgunaan tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkara, larangan pengimportan sudah dikeluarkan serta merta dan Kementerian Kesihatan memberi amaran kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk berkenaan supaya menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan dalam talian.

Dr Noor Hisham berkata, tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

“Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak membeli produk berkenaan. Sekiranya sudah membelinya, mereka seharusnya tidak makan ubat berkenaan dan perlu mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Sumber: Berita Harian

1601