Polis Cekup 8 Penagih Di Tuaran

Antara suspek yang ditahan disyaki terlibat penyalahgunaan dadah di daerah Tuaram. Foto Ihsan PDRM

TUARAN: Lapan penagih dadah dicekup polis menerusi serbuan Op Ice Breaker yang dijalankan di dua kawasan di daerah Tuaran.

Serbuan dijalankan selama seminggu bermula 10 Februari yang berakhir semalam itu dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tuaran dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, operasi itu dilancarkan susulan maklumat dan risikan di lokasi yang dikenal pasti sebagai sarang penagihan dadah.

Katanya, antara lokasi panas yang diserbu adalah Taman Telipok Ria, Taman Sri Rugading dan Kampung Jembulang, Mengkabong.

“Seramai empat lelaki suspek warga tempatan dan empat warga asing yang berusia 29 tahun sehingga 58 tahun ditahan.

“Daripada jumlah itu, tiga suspek ditahan atas kesalahan memiliki dadah manakala lima suspek lagi didapati positif dadah jenis syabu selepas menjalani saringan awal ujian air kencing,” katanya.

Menurutnya, pihak polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 1.20 gram bernilai RM180 mengikut nilai harga semasa.

“Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *