Saya Janji Akan Letak Jawatan Selepas APEC & Saya Pegang Kepada Janji Saya – TUN M

Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan terbabit dalam sebarang kegiatan atau kumpulan yang cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikannya sebagai Perdana Menteri.

Beliau turut menjelaskan perkara itu kepada Anwar dalam pertemuan mereka di Putrajaya semalam, dan mengakui kenyataan dikeluarkan Presiden PKR itu mengenai peralihan kuasa adalah benar.

Tegasnya, beliau masih memegang janji akan meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November ini.

“Dia (Anwar) jumpa dengan saya (semalam) dan apa dia buat kenyataan itu betul. Saya tidak terbabit dengan sebarang kegiatan lain. Saya janji akan letak jawatan selepas APEC dan saya pegang kepada janji saya.

“Saya tidak terbabit dengan perkara lain, saya cuma janji letak jawatan dan akan letak jawatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Fasa 2 Villa Sirehan di Langkawi, hari ini.

Anwar semalam, mengeluarkan kenyataan mengadakan perbincangan bersama Dr Mahathir berhubung isu peralihan kuasa berikutan terdapat tindakan wakil rakyat PAS, UMNO dan PKR yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Beliau dipetik berkata, beliau cenderung untuk Dr Mahathir terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak APEC dan perkara ini akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), 21 Februari ini.

Menyentuh mengenai dakwaan 138 Ahli Parlimen sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Dr Mahathir kekal sehingga tamat penggal, Dr Mahathir memaklumkan tidak tahu mengenainya.

“Saya dengar macam-macam cerita, ada mahu saya jadi Perdana Menteri 20 tahun lagi. Saya umur 94, beberapa bulan lagi 95.

“Hari ini PH mempunyai majoriti (di Parlimen). Macam mana boleh dapat angka 138 (Ahli Parlimen) itu orang lain punya kerja.

“Saya tidak tahu mereka boleh buat itu, maknanya (Ahli Parlimen) PH mesti sokong untuk dapat angka macam itu,” katanya

Sumber: Harian Metro

1150