LAHAD DATU: Dua lelaki ditahan termasuk seorang warga tempatan selepas didakwa terbabit dalam pengedaran dadah jenis syabu seberat 107.07 gram di sebuah ladang Jalan Tungku-Lahad Datu, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kedua-dua suspek ditahan dalam Op Ice Breaker di dua operasi berasingan.
“Tangkapan pertama membabitkan seorang pendatang asing tanpa izin (PARI) berumur 34 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Ladang Seri Balung, Jalan Tungku-Lahad Datu, pukul 2 petang semalam.
“Dalam serbuan tersebut, polis menemukan suspek warga Filipina berkenaan di hadapan bilik air,” katanya.
Polis turut merampas beg hitam yang dipakai suspek sebelum menjumpai 51.87 gram syabu di dalamnya.
Nasri berkata, ujian air kencing ke atas suspek menunjukkan kandungan negatif dadah, namun mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan penagihan dan pengedaran dadah.
“Serbuan kedua dilakukan di lokasi sama apabila polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang sedang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC, pada jam 5.30 petang, semalam.
“Suspek warga tempatan itu dikatakan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis sehingga menyebabkan pergelutan berlaku,” katanya.
Hasil pemeriksaan fizikal yang dilakukan, polis menemui empat paket lutsinar berisi ketulan hablur syabu seberat 55.20 gram di dalam poket seluar suspek.
Menurut Nasri, ujian air kencing ke atas suspek menunjukkan kandungan positif methamphetamine.
“Sehubungan itu, polis merampas semua dadah berkenaan yang dianggarkan bernilai lebih RM16,000.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 ,” katanya.
Sumber: BorneoToday