779 Calon Pemilihan Kepimpinan BERSATU Sabah Menang Tanpa Bertanding

 Shamsi (tengah) menunjukkan senarai calon-calon bertanding dan menang tanpa bertanding pada sidang media berkenaan.

KOTA KINABALU: Seramai 779 calon badan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menang tanpa bertanding.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Negeri Sabah Awang Shamsi Jami berkata, antara mereka yang menang tanpa bertanding dalam jawatan masing-masing ialah Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalannya Datuk Seri Masidi Manjun, Setiausaha Datuk Ronald Kiandee, Bendahari Datuk Mohd Arifin Arif dan ramai lagi.

“Jumlah pencalonan yang diterima ialah seramai 1,156 orang dan yang diluluskan hanya 1,123 calon sahaja.

“Seramai 779 calon menang tanpa bertanding dan 344 calon akan bertanding di peringkat bahagian masing-masing,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, semua borang pencalonan yang diterima daripada 25 bahagian dan ianya ditapis oleh pihak pemilihan parti Pusat dengan merujuk kepada tiga syarat.

“Calon mestilah telah menjadi ahli tidak kurang daripada 12 bulan sebelum 15 Februari 2020, atau pernah memegang jawatan di peringkat bahagian atau ahli jawatankuasa sayap-sayap bahagian.

“Calon juga mesti telah menjelaskan yuran tahunan sebelum 31 Disember 2019,” katanya.

Menurutnya, ahli parti juga boleh mengemukakan bantahan sehingga 14 Februari sahaja. – Utusan Borneo

461