Wanita tikam suaminya sampai mati kerana selalu dihina mertua sejak menjadi isteri keduaTidak tahan menahan rasa sakit hati, seorang wanita disyaki membunuh suaminya di Jakarta Utara dan menjerit bagaikan tiada hari esok ketika cuba ditahan oleh polis.
Dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat 31 Januari 2020, suspek, Rosmiati, 42, menikam suaminya sehingga mati.
Difahamkan, Rosmiati adalah isteri kedua kepada Alexander Putra, 61. Semenjak berkahwin, Rosmiati mengakui dia tidak pernah hidup dalam ketenangan.
Empat tahun mendirikan rumah tangga dengan lelaki itu, Rosmiati mengaku dia kerap bertengkar dengan Alexander kerana masalah keluarga si suami yang tidak dapat menerimanya sebagai isteri kedua. Malah dia kerap dihina.
“Saya dihina oleh keluarganya. Suami tak izinkan balik ke rumah ibu bapa saya, apatah lagi membela saya apabila saya dihina oleh keluarganya.
“Saya dikurung di dalam rumah biarpun sudah berkali-kali saya beritahu yang saya rasa tidak selesa di sini (rumah mertua).
“Saya sudah sakit hati, dihina berkali-kali dan ayah mertua pula hanya mendiamkan diri tanpa mengambil sebarang tindakan,” kata Rosmiati di depan polis dan wartawan dan sidang media, sambil menangis teresak-esak.
Menurut polis, pasangan itu bertengkar dan Rosmiati juga mengancam untuk membunuh dirinya di hadapan suami.
Bengang dengan kata-kata isterinya itu, Alexander mencekik dan menampar Rosmiati. Kemudian Alexander pula mengancam membunuh diri dan kedua-duanya berebut pisau sehingga Alexander mati tertikam.
Rosmiati panik dan terus meminta bantuan untuk menghantar suaminya ke hospital. Namun, Alexander gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia sebelum sempat sampai di hospital.
Keluarga mangsa tidak berpuas hati dan berasa curiga dengan kejadian itu lalu membuat laporan polis. Polis kemudian mengeluarkan semula mayat Alexander dari kubur untuk dibedah siasat.
“Hasil dari bedah siasat, mangsa meninggal dunia akibat tikaman di bahu kiri dengan lebar dua sentimeter,” kata polis.
Sementara itu, Rosmiati juga mengaku telah membunuh mangsa setelah mereka bergaduh dalam kejadian 21 Januari 2020.
Rosmiati akan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh dan bakal berdepan dengan hukuman penjara 15 tahun.
Sumber: Sosok