Masalah Bekalan Air Taman Rugading Diselesaikan

KOTA KINABALU: Masalah bekalan air yang dihadapi penduduk Taman Sri Rugading akan selesai dalam masa terdekat ini selepas satu tangki simpanan baharu berkapasiti 900 juta liter bakal ditempatkan di kawasan terbabit.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, tangki simpanan sedia ada hanya berkapasiti 900 juta liter tetapi tidak mampu membekalkan air kepada semua penduduk di perumahan berkenaan.

“Bekalan air sememangnya disalurkan ke taman itu pada setiap hari, masalahnya rekaan sedia ada pembahagian air di kawasan itu adalah rekaan lama seterusnya tidak mampu menampung pertambahan penduduk di perumahan ini.

“Hari ini kita telah ubah suai sistem pembahagian air ini, dan bekalan air tidak lagi menjadi  masalah kepada penduduk di sini.

“Kita juga akan segerakan menambah tangki simpanan baharu di sini, jadi saya lihat masalah bekalan air di sini sudah selesai,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di Taman Sri Rugading hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap kawasan perumahan itu juga tidak disediakan tangki walaupun kapasiti penggunaan air meningkat.

“Saya mahu semua pihak pengurusan perumahan negeri ini untuk memaklumkan kepada jabatan air sekiranya mempunyai keperluan untuk menambahkan bekalan air.

“Pemaju wajib memaklumkan kepada kita berapa tambahan air yang diperlukan, daripada sana kita akan tambah air itu.

“Di taman ini saya sudah meminta pihak pengurusan untuk menyediakan data lengkap tentang jumlah keperluan air di sini

“Kini mereka hanya memohon jumlah air dengan data lama, dan kita berikan bekalan air setiap hari, tetapi kita faham apabila penduduk bertambah, maka penggunaan air juga bertambah,” katanya.

Menurut Peter, lori-lori tangki bekalan air bersih juga disediakan sekiranya wujud keperluan mendesak di kawasan perumahan itu.

Tambahnya, beliau juga memberikan amaran terakhir kepada semua kontraktor Pan Borneo yang gagal melaporkan kecuaian mereka sehingga menyebabkan paip pecah.

“Maklumkan kepada kami kalau anda menyebabkan paip air pecah, kalau tidak berikan kerjasama, kontrak anda akan dikaji semula dan saya tidak teragak-agak untuk menamatkan,”katanya.

Sumber: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *