Sabah Lancar Minyak Masak Sawit Sendiri

Mohd Shafie (pertama dari kanan) menunjukkan minyak masak dihasilkan kerajaan negeri.

TAWAU: Kerajaan Sabah melakar sejarah apabila melancarkan jenama produk minyak masak sendiri, BESS yang akan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri, hari ini.

Pengeluaran BESS yang diterajui anak syarikat Benta Wawasan, Benta Edible Oil Sdn Berhad (Benta Edible Oil) mampu memproses dan mengeluarkan kira-kira 2,000 tan metrik minyak masak sebulan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, inisiatif pembinaan kilang pemprosesan minyak masak yang menelan belanja RM3.5 juta itu mampu mengurangkan eksport minyak sawit mentah disamping merancakkan lagi industri hiliran di negeri ini.

Beliau berkata, Sabah adalah antara negeri yang mempunyai keupayaan dalam mengeluarkan hasil minyak kelapa sawit dalam kapasiti besar selain untuk dieksport.

“Selama ini kita banyak mengeksport minyak sawit ke luar negara. Ini akan menjadi titik permulaan untuk kita mewujudkan lebih banyak kilang yang mampu mengeluarkan produk yang kompetitif selain menyokong industri hiliran yang ada.

“Ini antara usaha yang kita lakukan bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat sekali gus mengurangkan penghijrahan golongan belia dan anak muda mencari pekerjaan di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran minyak masak BESS di kilang pemprosesan Benta Edible Oil di Tawau, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap produk minyak masak yang ditawar pada harga berpatutan itu akan memberi manfaat kepada semua pihak.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *