Beijing: Pelik tapi benar. Ketika kebanyakan gadis yang obses untuk cantik, seorang remaja perempuan di China terpaksa membuat pembedahan plastik bagi mengatasi masalah penuaan yang dialaminya sejak lahir.
Odditycentral melaporkan, Xiaofeng, 15, dari Liaoning, Shenyang, China itu menderita masalah penuaan yang menyebabkan wajahnya seperti seorang warga emas berusia 60 tahun.
Keadaan pelik dinamakan progeria itu berlaku sejak remaja itu berusia setahun berubah cepat menjadi seorang wanita hingga mendapat liputan meluas dari pelbagai agensi media di Asia.
Keadaan kulitnya yang kedut dan kendur membuatkan dirinya sering menjadi sasaran kekejaman dan buli pelajar nakal di sekolahnya hingga remaja itu memutuskan berhenti sekolah dan duduk di rumah.
“Kadang-kadang orang panggil mak cik atau nenek. Ia membuatkan saya sedih.
“Dengan keadaan saya sekarang, saya tak mahu ke sekolah. Jika saya ubah penampilan, barulah saya akan ke sekolah kembali.
“Saya tak perlu menjadi cantik, saya cuma mahu hidup seperti remaja lain tanpa kelihatan pelik daripada orang lain,” katanya.
Kekecewaan gadis itu didengari seorang dermawan China yang menguruskan program kutipan untuk membiayai kos pembedahan plastik untuk mengembalikan keremajaan kulit gadis itu.
Kisah sedih remaja ini menyentuh hati ramai orang hingga mereka menyumbang wang untuk pembedahan plastik berkenaan.
Pada 29 Disember lalu, Xiaofeng selamat melakukan pembedahan peremajaan pada mukanya, membetulkan hidungnya, serta kedut pada sekitar mulutnya.
Kos pembedahan terbabit berjumlah 500,000 yuan (RM293,555), namun Pengarah Shenyang Sunline Plastic Surgery Hospital memberikan potongan diskaun sebanyak 70 peratus kepada gadis itu.
Buat pertama kalinya pada 20 Januari lalu, gadis berkenaan berani berhadapan dengan dunia dengan menunjukkan kesan perubahan selepas pembedahan itu dalam satu sidang media.
Dengan kemunculan wajah terbaharunya itu, dia mengumumkan kembali ke sekolah dan mengimpikan menjadi seorang doktor.
“Sekarang, saya sangat gembira dan rasa lebih berkeyakinan kerana saya sudah cantik.
“Selepas melalui pembedahan ini, saya percaya ada keajaiban dalam dunia ini.
“Saya akan sambung pengajian dalam bidang perubatan kerana saya mahu menjadi doktor bagi membantu dan menyebarkan kasih sayang kepada orang lain,” katanya.- Agensi