Budak 9 Tahun Pecah Rekod Angkat Berat

Tate berjaya memecah rekod berkenaan ketika menyertai Kejohanan Angkat Berat Amerika 2020. – Foto Agensi

Louisiana: Usia bukan menjadi penghalang untuk seorang budak lelaki apabila berjaya memecah rekod di Amerika Syarikat sebagai kanak-kanak termuda mengangkat beban seberat 104 kilogram.

CNN melaporkan, Tate Fegley, 9, berjaya memecah rekod berkenaan ketika menyertai Kejohanan Angkat Berat Amerika 2020, baru-baru ini.

Dalam kejohanan itu juga, Tate mengatasi pesaingnya apabila hanya melakukan dua cubaan mengangkat beban berkenaan seterusnya menjadikan kanak-kanak itu pemegang rekod.

Menurutnya, beliau akan memulakan sesi latihan di gimnasium pada jam 7 pagi setiap hari sempena cuti musim panas dengan dipantau jurulatihnya Peyton Gray.

“Saya suka sukan ini dan gemar menyertai pertandingan angkat berat. Saya akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya tiga jam untuk berlatih selepas pulang dari sekolah.

“Kini saya memberi fokus dan bekerja keras untuk menjuarai Kejohanan Remaja Kebangsaan yang akan berlangsung Ogos depan dan berharap mampu mengangkat beban lebih berat serta memecahkan lagi rekod kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Gray berkata, beliau kagum dengan kesungguhan anak didiknya itu kerana bersungguh-sungguh untuk mencuba mengangkat beban yang tidak setanding dengan usianya. – Agensi

275