JANS DIBERI MASA SEMINGGU SELESAI ISU BEKALAN AIR TAMAN SRI RUGADING: MADIUS
TUARAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mahu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menangani masalah bekalan air di Taman Sri Rugading, Telipok, dekat sini dan diselesaikan dalam tempoh seminggu.
Ini memandangkan beliau menerima aduan daripada orang ramai mengenai masalah bekalan air di kawasan itu yang sering berlaku melibatkan kediaman penduduk sehingga beberapa hari.
“Saya diberitahu punca masalah air di sini (Taman Sri Rugading) adalah disebabkan masalah dalaman pengurusan yang mengagihkan air. Namun apa yang saya lihat jumlah air di dalam tangki utama milik JANS tidak mencukupi.
“Saya meminta pihak JANS untuk segera memenuhkan tangki-tangki itu dan di situ baru kita boleh lihat sama ada ia berpunca dari masalah dalaman atau bukan,” katanya ketika ditemui semasa meninjau tangki di kawasan perumahan berkenaan yang dilaporkan mengalami masalah bekalan air yang berlarutan di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Pengarah JANS, Datuk Armajit Singh ketika melawat kawasan itu memberitahu masalah bekalan air yang berlaku adalah disebabkan masalah dalaman serta sistem syarikat pembekal air di situ.
Amarjit juga mendakwa air yang dibekalkan ke tangki utama cukup untuk menampung keperluan penduduk di situ.
Dalam pada itu, Madius berkata JANS juga diarahkan untuk mengaudit sistem pengagihan air menggunakan teknologi terkini oleh pengurusan taman agar punca masalah bekalan air dapat dikenalpasti sekaligus mencari penyelesaian secepat mungkin.
Sementara itu Pengurus Besar JPHS Management, Leong Them Chap mendakwa jumlah air yang masuk ke tangki utama hanya sebanyak 400,000 liter sehari walhal keperluan sehari ialah 1.6 juta liter.
Bagaimanapun JANS pula mendakwa bekalan air ke tangki cukup untuk 22 blok rumah dan setiap blok terdapat sebanyak 100 buah rumah.
Madius turut menasihati semua pihak agar berhenti menuding jari antara satu dengan yang lain.
“Yang jelas ada tiga blok selalu tidak mendapat bekalan air. Ini bermakna sekurang-kurang 300 buah keluarga terjejas. Saya mahu masalah ini diselesaikan dengan kadar segera,” ujarnya.
SabahNewsToday