Koronavirus: Angka Korban Meningkat 170 Orang

Beijing: Pihak berkuasa kesihatan China mengesahkan jumlah kes jangkitan akibat wabak koronavirus baharu kini mencecah 7,158 dengan 170 kematian di seluruh negara itu.

South China Morning Post melaporkan, peningkatan itu menjadikan keseluruhan jumlah kes jangkitan di seluruh dunia mencecah 7,251.

Sementara itu, menurut Reuters, Finland mengesahkan kes jangkitan pertama di negara itu membabitkan warga China berusia 32 tahun dari Wuhan.

Singapura pula merekodkan jumlah jangkitan 10 kes dengan pertambahan tiga lagi kes baru membabitkan warga China dari Wuhan.

AFP pula melaporkan Perancis mengesahkan lima jumlah kes jangkitan di negara itu. Sementara itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam ciapan di Twitter memaklumkan, satu mesyuarat akan diadakan bersama Jawatankuasa Kecemasan Peraturan Kesihatan Antarabangsa berkaitan koronavirus baharu, hari ini.

Selain itu lapor AFP, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) akan menghantar lebih banyak barangan keperluan kecemasan ke China dalam masa terdekat dalam usaha mengekang penularan wabak itu.

Semalam, penghantaran pertama UNICEF membabitkan penutup mulut dan hidung serta sut perlindungan seberat enam tan metrik selamat tiba di Shanghai. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *